Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kepayang terletak di Garden Homes, Seremban 2 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang. Dengan keluasan kawasan 6.47 hektar, sekolah ini mula dibina pada awal 2002 dan siap pada 23 Oktober 2003.  Sekolah ini mula beroperasi pada 16 November 2003. Pada peringkat awalnya, sekolah ini dipimpin oleh En. Awalluddin bin Abu Hassan selaku Penolong Kanan.  Pada 16 Ogos 2004, pengetua pertama sekolah ini iaitu Tuan Haji Mat Rohani bin Kamar mula menerajui sekolah. Kemudian telah diterajui pula oleh Pn. Hjh. Sadariah Md. Jali sebagai Pengetua Cemerlang mulai 2008 sehingga 2013. Setelah itu, Pn. Hajah Siti Rahimah binti Sulaiman pula menjadi pengetua diikuti Pn Norhayati binti Awang@Amin. Kini SMK Bukit Kepayang dipimpin oleh Tuan Md Sa’at bin Atan bermula November 2019.

Bilangan guru pada peringkat awal hanyalah seramai 23 orang dan keseluruhan pelajarnya berjumlah 359 orang pelajar.  Selain itu tenaga staf sokongan seramai 4 orang dan 3 orang pembantu makmal juga membantu pelaksanaan awal sesi persekolahan. Bilangan kelas ketika itu adalah sebanyak 11 kelas, iaitu 5 kelas tingkatan 1,  4 kelas tingkatan 2, dan 3 kelas tingkatan 4.  Kini bilangan kelas telah bertambah menjadi 33 buah kelas iaitu 1 kelas Penddikan Khas, 1 kelas Peralihan, 7 kelas tingkatan 1, 7  kelas tingkatan 2, 6  kelas tingkatan 3, 6 tingkatan 4 dan 5 kelas tingkatan 5. Seiring dengan peningkatan pelajarnya yang telah bertambah kepada 1450 orang pelajar kesemuanya pada 2014 dan bilangan guru juga bertambah seramai 89 orang.  Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah gred B kawasan bandar.


Pihak sekolah juga mendapat kerjasama padu daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dahulunya diterajui oleh Tuan Haji Ramli b Harun serta seluruh ahli jawatankuasanya di samping komuniti setempat seperti pihak IPD Seremban 2, Pasukan Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Jawatankuasa kampung berhampiran dan masyarakat setempat yang turut sama membantu pihak sekolah mencapai kemajuan dalam bidang pendidikan. Sekolah ini mampu menghadapi pelbagai cabaran baik dalam bidang akademik, kokurikulum, disiplin dan sebagainya dengan semangat kerjasama sesuai dengan moto sekolah iaitu ‘Sepakat Hidup Cemerlang’.


Sesungguhnya kerjasama yang padu dari pelbagai pihak akan dapat menjadikan usaha melaksanakan tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa lebih berjaya selaras dengan cita-cita dan matlamat negara iaitu melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa hadapan.